BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
INFOSOC akan menjelajah ke negeri lain
INFOSOC akan menjelajah ke negeri lain (16/05/1999
PERSIDANGAN dan pameran INFOSOC yang akan menjadi acara tahunan Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) akan dikembangkan ke beberapa negeri lain pada masa depan, kata Setiausaha Tetap NITC, Datuk Tengku Dr. Azzman Shariffadeen.
Tengku Azzman berkata, sesuai dengan konsepnya untuk melahirkan masyarakat bermaklumat, persidangan dan pameran itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat terhadap IT.
"Buat masa sekarang terdapat beberapa negeri yang menyatakan minatnya untuk menjadi penganjur bersama INFOSOC dan kami akan mengadakan perbincangan mengenainya.
"Bagaimanapun, kami hanya memilih negeri-negeri yang paling maju dan aktif dalam membangunkan IT,'' katanya kepada pemberita selepas menerima cek penajaan bagi INFOSOC Malaysia '99 yang akan diadakan di sekitar Selangor, mulai 20 Mei ini.
Pada majlis itu, Telekom Malaysia Berhad yang menjadi penaja utama INFOSOC'99 menyerahkan cek tajaan berjumlah RM300,000 untuk penyediaan rangkaian bagi persidangan video serta pemberian tunai sebanyak RM50,000.
Selain Telekom Malaysia, persidangan dan pameran yang asalnya dinamakan INFOTECH itu turut ditaja oleh IRIS Technologies (M) Sdn. Bhd., AccellTeam Sdn. Bhd. serta Southern bank Berhad.
Sementara itu Naib Presiden Kanan, Perniagaan Utama dan Kerajaan Telekom Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Khir Harun berkata, melalui sidang video tersebut, persidangan INFOSOC Malaysia'99 akan dapat diterima serentak di lima lokasi di seluruh negara.
Lokasi-lokasi itu ialah Sekolah Menengah Agama Bestari, USJ 5 Subang Jaya; Sekolah Menengah Tanah Putih Kuantan; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Dinding, Lumut; Maktab Rendah Sains Mara Jasin serta studio Telekom di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
"Segala sumbangan yang diberikan ini adalah sebahagian daripada komitmen sosial kami dalam menyokong usaha dan hasrat kerajaan yang berteraskan ke arah pembangunan IT,'' katanya pada majlis itu.
INFOSOC Malaysia'99 kali ini buat pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur dan meliputi tiga segmen utama iaitu pra-persidangan, persidangan serta pameran.
Pra-persidangan akan diadakan pada 20 dan 21 Mei di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), persidangan pula diadakan di Hotel Sheraton Subang, Subang Jaya (22 Mei) manakala pamerannya pula diadakan mulai 20 hingga 23 Mei di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.
|