BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
11 lagi MRSM dibina dalam RMK-8
11 lagi MRSM dibina dalam RMK-8(23/06/2002
Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES KUALA LUMPUR 22 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina 11 buah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) untuk menempatkan lebih ramai pelajar bumiputera yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pembinaan tersebut sekali gus akan dapat mengatasi masalah hampir 9,000 pelajar bumiputera yang mendapat 5A dalam UPSR, tetapi gagal mendapat tempat di MRSM atau mana-mana asrama penuh di seluruh negara setiap tahun.
Pengerusi Mara, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, pembinaan itu adalah tambahan kepada 27 buah MRSM yang telah beroperasi di seluruh negara dan enam buah yang baru siap dibina tahun ini.
Menurut beliau, enam MRSM itu akan memulakan pengambilan pelajar baru tahun depan.
``Apabila semuanya siap Mara akan memiliki 44 MRSM menjelang tahun 2005 dan ia cukup untuk menampung pertambahan jumlah pelajar bumiputera yang cemerlang biar pun dalam masa yang sama pelajar bukan bumiputera diberi tempat 10 peratus,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Abu Seman menambah, enam buah MRSM yang baru siap terletak di Batu Pahat (Parit Sulong), Johor; Kampung Gajah, Perak; Kota Kinabalu, Sabah; Kuala Krai dan Trans Krian, Kelantan serta Kuala Lipis, Pahang.
Maktab dalam pembinaan pula terletak di Alor Gajah, Melaka; Bentong dan Raub, Pahang; Betong, Sarawak; Gemencheh, Negeri Sembilan; Jitra dan Merbok, Kedah; Kepala Batas, Pulau Pinang; Tanjong Karang, Selangor; Tawau, Sabah serta Tumpat, Kelantan.
Abu Seman berkata, ekoran pembinaan tersebut, soal pemberian kuota 10 peratus yang dipertikaikan oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan orang Melayu sebelum ini tidak menjadi isu lagi.
Ini kerana masalah tempat untuk pelajar bumiputera di MRSM yang sebelum ini agak terhad akan diatasi tidak lama lagi.
``Pembinaan tersebut juga membuktikan kebimbangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan tidak berasas kerana jumlah pelajar bumiputera akan terus meningkat dan tidak akan berkurangan sama sekali,'' katanya.
Mengenai jumlah keseluruhan pelajar yang boleh ditempatkan di kesemua MRSM itu nanti, Abu Seman berkata, perkara itu belum dapat ditentukan sekarang kerana ia perlu mengambil kira banyak faktor.
Baru-baru ini, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama 24 pertubuhan lain meminta Mara mengkaji semula pemberian kuota 10 peratus tersebut kerana mendakwa ia mengecilkan lagi tempat untuk pelajar bumiputera yang berkelayakan.
Menurut Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim, jumlah pelajar Melayu yang layak memasuki MRSM telah bertambah dari tahun ke tahun dan pada tahun lalu sahaja, seramai 9,000 pelajar gagal memasuki maktab tersebut atau sekolah asrama penuh yang ada kerana kekurangan tempat.
Di samping itu, pertubuhan terbabit turut tidak yakin pemberian tempat kepada bukan bumiputera mampu meningkatkan integrasi kaum serta daya saing pelajar di situ.
|