BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
Mara singkir pelajar terlibat kes penipuan Internet
Mara singkir pelajar terlibat kes penipuan Internet (08/12/1998)
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil tindakan menyingkirkan pelajar tajaannya, Shafik Rizal, 24, yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan penipuan melalui Internet di Britain, Jun lalu.
Pengerusinya, Ruhanie Ahmad berkata, berikutan tindakan itu, kini terserahlah kepada pelajar berkenaan untuk menguruskan sendiri kehidupan di perantauan dan kepulangannya ke tanah air.
Tegas beliau, Mara tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pelajar tajaannya yang didapati bersalah oleh mahkamah dan mencemarkan nama baik negara.
Ruhanie memberitahu demikian kepada pemberita di ibu pejabat Mara di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan mengenai kes pelajar Malaysia yang terbabit dalam kes penipuan melalui Internet di Barat Laut England.
Laporan akhbar pada minggu lepas menyebut Shafik Rizal bersama rakannya warga negara Indonesia, Ahmad Yuliza Zam, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret wilayah tersebut pada Jumaat lepas, tetapi dibebaskan secara bersyarat untuk dua tahun selepas mereka mengaku bersalah.
Dengan syarat pembebasan oleh majistret Graham Richards itu bermakna mereka akan menghadapi hukuman penjara jika melakukan sebarang jenayah dalam tempoh dua tahun tersebut.
Bagaimanapun Shafik Rizal kini dilaporkan tidak boleh lagi menyambung pengajian akademiknya dan menghadapi masa depan yang tidak menentu berikutan kesalahan yang dilakukannya itu.
Mahkamah diberitahu pada 1 Jun lalu, Shafik Rizal menerima sebuah komputer Acer bernilai AS$499 yang ditempah melalui Internet daripada syarikat Cyberian Outpost Inc. dan dibayar melalui penipuan kad kredit.
Shafik Rizal dan Ahmad Yuliza sebelum ini dituduh bersama-sama tiga lagi penuntut Malaysia berkomplot untuk menipu melalui Internet menggunakan komputer Universiti Staffordshire.
|