BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
Seminar prestasi MRSM 2002
Seminar prestasi MRSM 2002(08/11/2002)
KIRA-kira 600 guru dan ibu bapa akan menghadiri Seminar Prestasi Pendidikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2002 yang akan diadakan di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur, bermula pada 19 hingga 20 Disember ini.
Seminar berlangsung dua hari itu adalah juga bersempena Majlis Perdana Pelancaran Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat).
Pelancaran Muafakat akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 18 Disember, pukul 8 malam bertempat di Dewan Besar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Menurut Presiden Muafakat, Hassan Ahmad, seminar peringkat nasional itu adalah untuk membincangkan strategi berkesan dan kejayaan dicapai selain mengenal pasti kelemahan yang terdapat dalam sistem, metodologi sekali gus persekitaran yang kondusif ke arah kecemerlangan.
``Seminar juga bertujuan menggiat dan menyedarkan warga MRSM/Kolej Mara di segenap peringkat di seluruh negara tentang kewujudan Muafakat di peringkat kebangsaan dan cawangan bagi menggantikan PIBG,'' katanya dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seminar dengan tema Mengangkat Prestasi, Meningkat Meritokrasi antara lain akan mengupas pelbagai isu dan hala tuju pendidikan di negara ini.
Sebanyak lima kertas kerja dan forum akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh akademik dan pelajar, anggota Muafakat yang mempunyai kepakaran tertentu serta golongan profesional.
Forum bertajuk Mengangkat Prestasi, Meningkat Meritokrasi Peranan MRSM akan menampilkan tiga ahli panel iaitu bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin, Rektor UIAM, Prof. Dr. Mohd. Kamal Hassan dan Pensyarah Sains Fizik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Halijah Mohd. Salleh.
Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang akan dibentangkan ialah Cabaran dan Hala Tuju Sistem Pendidikan MRSM dalam Milenium Ketiga, Sistem Pendidikan MRSM: 30 tahun Memperkongsi Pengalaman, Menempa Kecemerlangan, Peranan Ibu Bapa Dalam Membantu Ke Arah Kecemerlangan anak-anak dan Peranan Alumni Membina Generasi Cemerlang.
Antara yang akan membentangkan kertas kerja ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Mohd. Hussain Ibrahim dan bekas Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM, Prof. Dr. Sidek Baba.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Hassan di talian 019-5564377 atau 05-7910273 atau Setiausaha Muafakat, Aziz Dahari di talian 03-26915111 sambungan 3337.
Bayaran yuran RM100 dikenakan bagi penyertaan seminar merangkumi kertas-kertas kerja, fail, makan dan minum.
|