BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
Bank Rakyat sedia biasiswa RM3.3 juta untuk anak ahli
Oleh Tamrin Anuar
BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat)
menyediakan biasiswa RM3.3 juta untuk ahli atau pemegang saham serta anak
mereka yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi, khususnya yang
kurang kemampuan.
Biasiswa itu bukan saja untuk mereka yang
mengikuti pengajian peringkat diploma, malah ijazah pertama di institusi
pengajian tinggi awam dan swasta sama ada di dalam mahupun luar
negara.
Ketua Bahagian Operasi Cawangan, Bank Rakyat, Omar
Mohammad, berkata tawaran biasiswa itu akan diiklankan dalam akhbar
tempatan nanti.
“Kita harap dengan kemudahan yang disediakan akan
menarik minat ibu bapa serta koperasi sekolah menjadi ahli bank, sekali
gus merebut peluang itu.
“Bank Rakyat melihat bidang pendidikan amat
penting dan ibu bapa pula kini semakin memberi perhatian demi menjamin
masa depan anak mereka terjamin.
“Sumbangan dan sokongan ahli bank
ini amat besar dan wajar dihargai. Peluang ini disediakan sebagai
penghormatan dan penghargaan kepada mereka,” katanya pada majlis perasmian
Seminar SKOR A SPM, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama
Pengurus, Jabatan Pengurusan Keanggotaan dan Khidmat Koperasi, Bank
Rakyat, Suhaimi Omar dan Pengarang Berita Pendidikan, Berita Harian,
Zainor Said.
Seramai 200 anak ahli atau pemegang saham Bank Rakyat
dari Selangor dan Wilayah Persekutuan menyertai seminar sehari kendalian
Unit Pendidikan, Berita Harian Sdn Bhd melalui akhbar SKOR membabitkan
mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan
Matematik.
Program ketiga daripada lapan siri seminar di seluruh
negara itu bukan saja memberi input terbaru, malah menyuntik semangat
peserta bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia November ini,
dengan lebih yakin.
Omar berkata, Bank Rakyat akan terus memberi
komitmen dalam usaha membantu pelajar, bukan saja dengan menganjurkan
program pendidikan, malah menerusi produk lain.
Program sama
anjuran bank itu akan diadakan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, pada
29 Jun ini, diikuti Temerloh, Pahang (19 Julai); Batu Pahat, Johor (13
Julai); Kuching, Sarawak (27 Julai) dan Kota Kinabalu, Sabah (10
Ogos).
Pendaftaran bagi menyertainya masih dibuka dan memandangkan
jumlah peserta terhad, mereka yang berminat diminta mendaftar
segera.
Untuk keterangan, hubungi urus setia Seminar BR-SKOR, Bank
Kerjasama Rakyat (M) Berhad, Jabatan Pengurusan Keanggotaan dan Khidmat
Koperasi, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, telefon; 03-2612 9563/9571/9560
(Dzulkifle/Azlan/Hasmituriza).
|