|
BERITA DARI AKHBAR / MAJALAH
Belajar secara sistematik punca 103 pelajar MRSM Jasin cemerlang
Berita Harian
: Tengah : 28 fEBRUARI 2002 : Khamis
Melaka, Rabu: Kejayaan cemerlang yang dicapai 103 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin hasil kombinasi belajar secara sistematik, menghormati guru serta bertawakal kepada tuhan.
Selain itu, pelajar terbabit memberi penekanan terhadap ulang kaji serta membuat persediaan sebelumsesuatu mata pelajaran diikuti di dalam bilik darjah.
Seorang pelajar, Fairus Yahya Arif, 18, dari Johor Bahru, berkata dia terkejut dan tidak menduga sama sekali mencapai keputusan cemerlang 9A dalam SPM tahun lalu. Katanya, kejayaan itu bukanlah mudah kerana dia mencipta formula sendiri dengan belajar secara sistematik selain sentiasa menghormati semua guru.
“Hormat kepada guru sangat penting untuk memastikan ilmu yang diperolehi diberkati dan mudah untuk mengingat setiap pelajaran yang diajar,” katanya ketika ditemui disini, hari ini.
Seorang lagi pelajar, Wan Azlirul Aini Ahmad Ghazali, berkata kejayaan yang diperolehi itu adalah sebagai membalas jasa ibu bapa serta guru di MRSM. Anak kepada pesara tentera dari tanjung karang, Selangor itu, berkata keputusan cemerlang yang dicipta itu adalah hasil usaha dan sentiasa menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.
“Setiap mata pelajaran yang diajar akan diberi tumpuan dan saya juga akan mengulangkaji pada waktu malam selain membuat persedian untuk hari berikutnya,” katanya.
Norshahila Mohd Derani, 18, berkata, faktor utama yang membolehkanya mencapai keputusan 8A dalam SPM adalah hasil usaha yang bersungguh-sungguh. Katanya, belajar secara berkumpulan melalui perbincangan dan mengikuti pelajaran di bilik darjah dengan penuh perhatian membolehkan setiap pelajaran yang diikuti dapat difahami.
“Saya belajar mengikuti jadual selain itu membuat ulang kaji dan berbincang dengan rakan-rakan untuk memahirkan lagi penguasaan pelajaran,” katanya.
| |