MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) mengungguli keputusan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dengan tiga MRSM mendahului
senarai keseluruhan 74 sekolah terbaik di seluruh negara.
Kedudukan
tiga MRSM terbaik dalam peperiksaan itu berdasarkan gred purata pencapaian
calon.
MRSM Jasin, Melaka, yang mendaftar seramai 423 calon dalam
SPM tahun lalu, menduduki tempat pertama dengan mencatatkan gred purata
1.80, diikuti MRSM Langkawi, Kedah, di tempat kedua (147 calon, gred
purata 1.81), dan MRSM Taiping, Perak, di tempat ketiga (365 calon, gred
purata 2.04).
Tiga maktab berkenaan adalah sebahagian daripada 17
MRSM yang mendaftar calon dalam peperiksaan SPM tahun lalu.
Semua
MRSM bukan sahaja berjaya mencapai kelulusan 100 peratus, malah tergolong
dalam senarai sekolah terbaik seluruh negara.
Ketua Pengarah,
Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Mohd Mydin Mohd Sheriff, berkata MRSM
berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam pencapaian SPM dengan mencatatkan
prestasi yang sungguh menggalakkan bagi tahun kedua sistem pensijilan
terbuka itu.
Katanya, seramai 4,439 pelajar tingkatan lima dari 17
MRSM menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, iaitu meningkat seramai 144
calon atau 3.4 peratus berbanding peperiksaan SPM pada 2000.
Maktab
berkenaan termasuk MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan, dengan 226 calon, MRSM
Serting, Negeri Sembilan (151); MRSM Beseri, Perlis (385); MRSM Balik
Pulau, Pulau Pinang (332); MRSM Kuala Berang, Terengganu (273); MRSM Muar,
Johor (375); MRSM-Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kulim, Kedah (151); MRSM
Kota Putra, Terengganu (301); MRSM Terendak, Melaka (148); MRSM Kuala
Terengganu, Terengganu (340); MRSM-Yayasan Terengganu (YT) Besut,
Terengganu (169); MRSM Muadzam Shah, Pahang (143); MRSM Kuantan, Pahang
(347); dan MRSM Kuching, Sarawak (250).
MRSM Pengkalan Chepa
menduduki tempat kelima dalam senarai sekolah terbaik seluruh negara
dengan mencatatkan gred purata 2.08, diikuti MRSM Serting tempat ke-13
(2.47), MRSM Beseri tempat ke-15 (2.55), MRSM Balik Pulau tempat ke-16
(2.59), MRSM Kuala Berang tempat ke-18 (2.63), MRSM Muar tempat ke-27
(2.77).
MRSM-PDRM Kulim tempat ke-28 (2.78), MRSM Kota Putra tempat
ke-29 (2.82), MRSM Terendak tempat ke-35 (3.02), MRSM Kuala Terengganu
tempat ke-43 (3.10), MRSM YT Besut (ke-47, 3.15), MRSM Muadzam Shah tempat
ke-49 (3.16), MRSM Kuantan tempat ke-56 (3.24), manakala MRSM Kuching
tempat ke-64 (3.38).
Mohd Mydin berkata, 83 calon MRSM atau 1.87
peratus daripada keseluruhan calonnya memperoleh keputusan
cemerlang.
Lapan calon mencatat 10 1A manakala 75 calon lagi
mencapai keputusan 9 1A. Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 0.82
peratus berbanding 1.05 peratus atau 45 calon pada 2000.
Selain
itu, masing-masing tiga pelajar mendapat 12A serta 11A.
“Sembilan
mata pelajaran mencatatkan peningkatan dalam peperiksaan kali ini
berbanding hanya empat subjek pada SPM 2000.
“Matematik menunjukkan
prestasi amat cemerlang dengan 95.0 peratus calonnya mendapat keputusan 1A
atau 2A dengan MRSM Balik Pulau dan MRSM Langkawi membuktikan 100 peratus
pencapaian 1A dan 2A,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru
ini.
Secara keseluruhan, Mohd Mydin berkata, seramai 103 calon MRSM
mendapat keputusan 10A, 9A (413) dan 8A (424).
Dari segi pecahan
mengikut maktab,
MRSM Jasin menunjukkan jumlah tertinggi, iaitu 212 calon,
diikuti MRSM Taiping (156), MRSM Pengkalan Chepa (102), MRSM Langkawi
(79), MRSM Kuala Berang (53), MRSM Beseri (53), MRSM Muar
(49).
MRSM Kota Putra (44), MRSM Balik Pulau (39), MRSM Serting
(37), MRSM Kuantan (29), MRSM Kuala Terengganu (25), MRSM PDRM Kulim (19),
MRSM-YT Besut (13), MRSM Terendak, MRSM Kuching dan MRSM Muadzam Shah
masing-masing 10 calon.
Mohd Mydin ditemui selepas mengadakan
perjumpaan dengan kesemua 17 pengetua MRSM terbabit di ibu pejabat Mara,
Kuala Lumpur.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah
Mara, Ahmad Roslan Johari; pengasas sistem MRSM sejak 1932, Wahab Alwi;
dan Timbalan Presiden Anak Sains Mara (Ansara), Abdul Mutalib
Alias.
Mohd Mydin berkata, antara faktor utama kecemerlangan
pencapaian MRSM dalam keputusan SPM tahun lalu ialah kerja keras dan
komitmen yang tinggi daripada maktab, iaitu pengetua serta guru, dan juga
calon peperiksaan itu sendiri.
Katanya, setiap MRSM juga
menganjurkan pelbagai program pengajaran dan pembelajaran agar proses
pendidikan lebih berkesan.
Selain itu, katanya, harapan tinggi dan
jangkaan positif daripada ibu bapa, secara langsung membina pemikiran
positif serta keyakinan diri yang tinggi di kalangan guru serta pelajar
untuk berjaya.
Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh
pelbagai pihak terhadap ketinggian mutu sistem pendidikan MRSM memberi
dorongan kuat dan inspirasi kepada warga maktab itu untuk menggembleng
tenaga ke arah kecemerlangan.
Bagaimanapun, katanya, MRSM bersifat
terbuka kepada pembaharuan yang positif dengan menilai contoh sistem di
institusi pendidikan lain yang cemerlang serta terkemuka, termasuk di luar
negara.
Pembaharuan itu bertujuan memantapkan lagi kualiti sistem
pendidikan MRSM.
“Memandangkan perkembangan pendidikan sungguh
mencabar, Mara melalui sistem pendidikan MRSM menggariskan agenda penting
untuk menjadikan maktab ini sebagai pusat pendidikan yang mempunyai sistem
pendidikan bertaraf dunia.
“Pada awal penubuhan, MRSM
memperkenalkan pelbagai sistem seperti ‘Homeroom’ serta purata nilai gred
(PNG). Namun untuk menangani cabaran semakin hebat, MRSM menyediakan satu
lagi sistem pendidikan yang mantap melalui Program Khas Pendidikan
(PKP).
“Program itu memberi penekanan kepada perkembangan individu
secara menyeluruh dengan fokus bukan sahaja terhadap aspek intelektual
tetapi juga pembentukan insan berakhlak mulia, celik teknologi maklumat
serta bersifat global.
“Melalui PKP, pelbagai kaedah digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran, termasuk program pengayaan untuk
menjadikan pelajar sebagai pengguna dan pengeluar ilmu, penyelesai masalah
yang cekap, serta pencipta suatu yang bermakna,” katanya.
Sementara
itu, Wahab berpendapat sebagai institusi pendidikan yang berimej unggul,
sudah tiba masanya untuk MRSM dikorporatkan supaya bergerak secara lebih
dinamik.
Abdul Mutalib pula mengatakan antara kekuatan yang
menunjangi kejayaan MRSM ialah tradisi kecemerlangan maktab
berkenaan.